Kisah Perubatan

Kisah Perubatan menampilkan himpunan cerita pendek berlatarkan dunia klinikal. Ia ditulis untuk menggambarkan bagaimana pengalaman dalam dunia perubatan boleh diterjemahkan ke dalam bentuk naratif yang dekat dengan pembaca.

Segala maklumat yang dikongsikan adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan umum sahaja. Ia bukan bertujuan untuk diagnosis, rawatan, atau penggantian nasihat perubatan profesional. Sekiranya anda mempunyai sebarang masalah kesihatan atau pertanyaan berkaitan perubatan, sila berjumpa dan dapatkan nasihat daripada doktor atau penyedia perkhidmatan kesihatan yang bertauliah.

Sakit dada suamiku

Pesakit sakit dada di Jabatan Kecemasan

Jam menunjukkan pukul 12.45 pagi. Ruang menunggu di jabatan kecemasan di hospital masih lagi dipenuhi dengan pesakit dan peneman mereka, seolah-olah malam tidak memberi peluang kepada hospital untuk berehat sejenak. Ada yang berwajah muram, ada yang kelihatan bosan menunggu, dan ada pula yang cuba menenangkan kerisauan hati dengan menatap telefon bimbit. Di sudut hadapan ruang menunggu, kelihatan seorang lelaki pertengahan umur sedang menunggu giliran dipanggil, sambil mengurut dada kirinya. Nafasnya terlihat berat serta tampak peluh menitik di dahinya tanpa henti. Di sisinya, seorang perempuan—mungkin isterinya—setia menemani dari tadi, duduk tenang merenung ke hadapan dengan pandangan kosong, seolah-olah tiada apa yang besar akan berlaku. Selang seminit kemudian, seorang ibu masuk ke zon hijau sambil mendukung anaknya yang nampak berumur sekitar dua tahun sedang menangis barangkali demam. Begitulah rutin di hospital, setiap saat penentu hidup dan mati seorang insan.

“Tolong! Doktor!” jerit perempuan yang menemani suaminya itu memecah kesunyian malam. Lelaki itu tiba-tiba rebah. Mujur isterinya sempat memaut tangannya, lalu kepalanya tidak terhentak ke lantai.

Kak Mira, jururawat senior yang kebetulan melintas, terus menjerit cemas memanggil staf yang berada di sekeliling. “Tolong, ada pesakit jatuh! Panggil doktor!” Sekelip mata suasana malam yang tenang itu bertukar kepada panik.

Doktor Iqbal dan En Kamarul, pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan jabatan kecemasan, bergegas keluar dari bilik rawatan di zon hijau, kira-kira dua puluh langkah dari tempat kejadian. Mereka membantu isteri pesakit dan Kak Mira memapah lelaki itu ke kerusi semula sambil meminta staf mencari stretcher. “Kita bawa terus pesakit ke zon merah,” arah Dr Iqbal. Sambil menunggu stretcher tiba, beliau bertanya, “Eh, kenapa sebenarnya pesakit ini datang ke zon hijau?"

“Tadi akak nampak kad dia, dia datang sebab sakit dada, doktor,” jawab Kak Mira. “Hah? Kenapa dibiarkan tunggu di zon hijau? Lelaki pertengahan umur datang dengan sakit dada ini, kita kena anggap saja myocardial infarction sehingga terbukti sebaliknya. Terus triage ke zon merah. Kena segera buat ECG; kalau ada tanda-tanda, perlu terus mulakan rawatan aspirin, clopidogrel, dan oksigen sekali,” tegas Dr Iqbal. “Entahlah doktor, siapa yang triage encik ini. Kesian dia,” balas Kak Mira dengan dahinya berkerut.

“Tak apa, cepat naikkan dia di stretcher dan bawa terus ke zon merah,” kata Dr Iqbal sambil memeriksa nadi. “Eh, denyutan nadinya rendah sangat. Jom tolak laju sikit.”

Isteri pesakit menangis teresak-esak, “Suami saya okey ke, doktor?”

“InsyaAllah. Kami akan buat yang terbaik. Percayalah kami akan selamatkan dia,” jawab Dr Iqbal menenangkannya.

Sampai di kaunter zon merah, Dr Izhan, pegawai perubatan yang bertugas, terpandang mereka. “Eh, kenapa pesakit tu?”

“Pesakit ini sakit dada, tapi entah siapa triage di zon hijau,” jawab Dr Iqbal dengan wajah tidak puas hati.

“Aduh, macam mana boleh jadi begitu. Kalau bos tahu, habislah. Nanti kalau ada audit klinikal, mesti bos akan korek maklumat habis-habisan,” bebel Dr Izhan sambil mereka mengangkat pesakit itu ke katil resus. En Kamarul dan Dr Izhan menanggalkan butang baju pesakit, manakala Dr Iqbal pula meminta mesin ECG segera dibawa oleh staf di zon merah. Selepas itu, Dr Iqbal memasang mesin tekanan darah automatik pada lengan kiri pesakit dan menekan butang untuk membaca tekanan darah. Kemudian, dia memasang pula probe SpO₂ pada jari tangan kanan pesakit. Paparan mesin menunjukkan tekanan darah 90/60 mmHg, kadar nadi 105 per minit, dan bacaan SpO₂ 93%.

Pesakit ini dah hypotensive dan tachycardic. Bacaan SpO₂ pun dah tak cantik,” kata Dr Iqbal sambil memeriksa kaki pesakit. “Ada pedal edema juga ni. Izhan, paru-paru dia ada basal crepitation tak?”

“Ha’ah, ada bibasal crepitation.” “En Kamarul, tolong pasangkan cardiac monitor sekarang.” “Hakeem, cepat pasang line intravenous. Guna branula besar ya,” arah Dr Izhan. “Baik, bos,” sahut Hakeem sambil mencapai branula 16G berwarna kelabu dari emergency trolley dan memasangnya di dorsum tangan kanan pesakit.

“Eh, ada ST elevation dekat lead II, III, aVF. Kena telefon MO cardiology sekarang,” getus Dr Izhan dalam hatinya. Dia segera menghubungi MO. “Hello Dr, ini Izhan dari zon merah. Ada pesakit inferior MI, sekarang sedang hypotensive…”

Daftar istilah:

  • ECG (Electrocardiogram) → ujian yang merekod aktiviti elektrik jantung.
  • Aspirin → ubat pencair darah (antiplatelet).
  • Clopidogrel → ubat antiplatelet lain, sering digabungkan dengan aspirin.
  • Myocardial infarction (MI) → serangan jantung kerana salur darah tersumbat.
  • Inferior MI → serangan jantung melibatkan bahagian bawah jantung (lead II, III, aVF pada ECG).
  • Hypotensive → tekanan darah rendah.
  • Tachycardic → degupan jantung laju.
  • SpO₂ → tahap oksigen dalam darah.
  • Pedal edema → bengkak di kaki akibat masalah jantung/buah pinggang.
  • Crepitation → bunyi crackle bila periksa paru-paru, tanda cecair terkumpul.
  • Triage → proses saringan pesakit di Jabatan Kecemasan untuk tentukan tahap kritikal.
  • Pegawai Perubatan (MO) → doktor perubatan.
  • Penolong Pegawai Perubatan (AMO) → paramedik.
  • Jururawat senior → jururawat berpengalaman.
  • Pegawai perubatan siswazah (HO) → doktor baru (house officer).

Batuk si kecil

Budak kecil batuk di pelukan ibu

Jam menunjukkan pukul 12 tengah hari. Sunyi rumah itu tiba-tiba pecah dengan deringan telefon Hasbi. “Tuuut tuuuuuttt, tuuut tuuuuutt.” Hasbi mengangkat dan segera menjawab telefonnya.

“Bang, Hakeem kuat batuk, nafas dia macam laju sikit,” suara Aira, isteri Hasbi, terdengar dari telefon itu.

“Hakeem ada demam tak? Ada bagi ubat inhaler tak?”

“Alamak, Aira lupa pula nak bagi, dah tiga hari tak bagi ubat bang.”

Hasbi terkejut dan berasa agak ralat kepada isterinya kerana biasanya apabila Hakeem tidak menggunakan ubat itu berhari-hari, dia akan mula batuk. Lagi pun, sekiranya keadaan Hakeem semakin teruk, jauh untuk Hasbi mengambil Hakeem dan membawanya ke hospital. Hasbi tinggal di rumahnya seorang diri, manakala Hakeem dan Aira tinggal di rumah ibu Aira yang berada 100 km dari rumahnya.

“Tak apa lah, kejap lagi abang balik ke sana,” Hasbi menjawab sambil menyedapkan hatinya yang mula risau.

“Ok, abang bawa kereta hati-hati ya.”

“Insya-Allah,” jawab Hasbi.

Hasbi, Aira, Hakeem dan keluarga Aira baru sahaja balik bercuti dari Cameron Highland tiga hari lepas. Udara di sana dingin, memberikan pengalaman yang seronok dan selesa berbanding cuaca yang agak panas di tempat tinggal Hasbi sekarang. Sambil bercuti di tempat peranginan, mereka juga mengambil peluang bersiar-siar di pasar Cameron Highland, mengunjungi taman bunga, dan berjoging di padang di Tanah Rata. Hasbi dan Aira memang gemar berjoging di kawasan itu kerana sambil menyihatkan badan, mereka juga boleh menghirup udara dingin yang segar, sambil menikmati keindahan alam di waktu pagi. Pendek kata, mereka memang menikmati percutian mereka di tanah tinggi itu.

Rumah ibu Aira baru sahaja diubah suai dalam beberapa bulan ini, jadi masih banyak sisa habuk dan debu di dalam rumah. Asalnya rumah ibu Aira ada 4 bilik. Tapi memandangkan adik-beradik Aira sudah semakin dewasa, dan ada juga yang sudah berumah tangga, maka dengan bilik sebanyak itu tidak cukup menampung — lebih-lebih lagi ketika musim perayaan apabila semuanya pulang ke kampung. Maka ibu Aira sekeluarga mengambil keputusan untuk menambah bilik di sebelah kiri rumah mereka.

Hakeem dilahirkan pramatang pada usia kandungan 28 minggu dengan berat hanya 1 kg. Keadaan kesihatannya ketikal lahir kritikal — paru-parunya tidak matang dan memerlukan alat bantuan pernafasan akibat respiratory distress syndrome , mengalami jaundice , perut kembung kerana necrotising enterocolitis, dan intraventricular hemorrhage (pendarahan otak), selain beberapa komplikasi lain.

Dia dirawat di NICU selama enam minggu dengan sokongan oksigen berterusan. Pasukan perubatan beberapa kali cuba mengurangkan sokongan oksigen untuk menilai keupayaan Hakeem bernafas sendiri, namun percubaan tersebut tidak berjaya.

Hakeem kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Khas Bayi untuk menambah berat badan sehingga melebihi 2 kg sambil menunggu paru-parunya matang. Namun, percubaan seterusnya juga gagal, dan doktor memutuskan dia perlu meneruskan penggunaan oksigen di rumah dengan mesin khas sehingga berusia setahun setengah. Selain itu, Hakeem juga memerlukan inhaler salbutamol dan inhaler fluticasone kerana paru-parunya mudah mengalami radang akibat komplikasi kelahiran pramatang.

Ayahnya, Hasbi, pula ialah seorang doktor. Ada kelebihannya, namun tidak kurang juga cabaran yang membebankan jiwa seorang ayah. Kelebihannya ialah, dia arif selok-belok perubatan, tahu bila keadaan anaknya tidak sihat dan memerlukan rawatan segera serta senang mengesan tanda-tanda penyakit. Sisi mencabarnya ialah, dia sering berasa risau perkara-perkara yang paling buruk boleh berlaku kepada anaknya, terutamanya apabila dia sering membaca artikel dari jurnal yang menunjukkan komplikasi yang boleh berlaku kepada bayi pramatang. Manakala Aira pula bukan doktor, jadi tindakan Hasbi yang ingin meminimakan potensi jangkitan kepada anaknya tidak dapat difahami oleh Aira. Sering kali juga perselisihan faham berlaku di antara mereka kerana perkara ini.

Setelah 2 jam bersiap, Hasbi memandu ke rumah ibu mertuanya yang mengambil masa 2 jam untuk sampai. Bila diingat semula, ada sepupu Hakeem yang tidak sihat dan mengalami coryza bermain dengan Hakeem semasa di Cameron Highland. Tambahan pula, anaknya sudah 3 hari tidak diberikan ubat inhaler dan terdedah pula kepada habuk. Semua keadaan ini meninggikan kemungkinan untuk paru-paru Hakeem mengalami jangkitan serta keradangan. Sepanjang perjalanan, hatinya bercampur antara risau, sesal, dan takut. Namun dia tetap mengengggam stereng dengan erat, sedar fokusnya tidak boleh goyah.

Setibanya Hasbi di rumah ibu mertuanya, Hasbi mendengar Hakeem batuk beberapa kali sambil merengek kerana keadaannya yang tidak selesa. Nafasnya juga kelihatan laju dan tercungap-cungap, nampak lemah dan lesu serta dadanya berombak, merungkai teka-teki akan keadaan anaknya itu.

Aira kelihatan sedikit risau tetapi tidak seteruk Hasbi kerana Aira tidak mempunyai pengetahuan klinikal, manakala Hasbi berasa amat cemas. Hasbi sedar bahawa Hakeem perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi pada mulanya dia bingung sama ada mahu membawanya ke hospital daerah yang hanya 15 minit dari sini tetapi mempunyai peralatan yang agak terhad, atau hospital besar yang jaraknya 100 km dari sini tapi mempunyai kelengkapan yang lebih lengkap. Namun, melihatkan keadaan Hakeem ketika itu, dia mahu Hakeem mendapatkan rawatan sesegera mungkin supaya peluang untuk Hakeem sembuh lebih tinggi lalu memutuskan membawa Hakeem ke hospital daerah yang lebih hampir.

Hasbi dengan segera mencari inhaler salbutamol sementara Aira pula memegang Hakeem. Kemudian Hasbi memberikan dua dos inhaler salbutamol kepada Hakeem. Namun keadaan pernafasan Hakeem sama sahaja. Lalu Hasbi memberikan lagi dua dos inhaler 2 minit kemudian sambil mencium dahi Hakeem dan mengusap kepalanya, mengharapkan pernafasan semakin baik. Namun Hakeem masih lagi tercungap-cungap dan tidak berhenti merengek.

Hasbi segera berkata kepada Aira, “Sayang, jom cepat bawa Hakeem ke hospital, kemaskan barang-barang Hakeem sekarang.” “Baik bang. Maafkan Aira abang sebab dah dua hari tak bagi Hakeem ubat.” “Tak apa lah, jom bersiap cepat. Hakeem teruk tu,” Hasbi berkata sambil mencari mesin pulse oximeter yang diibaratkan sebagai teman Hakeem semenjak dia keluar dari hospital. Kemudian Hasbi terus memasang mesin itu di jari kaki Hakeem. Bacaan menunjukkan SpO₂ -nya 88% hingga 91%, menambahkan kerisauan Hasbi. Hasbi kemudian menyambar lagi inhaler salbutamol itu lagi, memberikan dua dos lagi kepada Hakeem. Namun masih tiada perubahan.

Hasbi dengan perasaan yang berkecamuk mendukung segera anaknya itu sambil bertanya kepada Aira sama ada semua barang yang diperlukan untuk masuk ke wad sudah disiapkan atau belum. Dia juga tidak sengaja tertinggi suara kepada isterinya. Kelam-kabut Aira mengambil barang-barang yang perlu dibawa ke hospital. Ibu dan adik Aira juga membantu menyiapkan apa yang patut. Mereka faham Hasbi agak tertekan dengan keadaan anaknya, lalu menyiapkan barangan Aira tanpa banyak bicara.

Dua puluh minit kemudian, semua barangannya telah pun lengkap. Hasbi terus memandu kereta membawa Aira dan Hakeem ke hospital daerah dengan segera.

Setibanya mereka di jabatan kecemasan, Hasbi terus pergi ke kaunter triage dan memberitahu keadaan anaknya kepada paramedik yang bertugas. Aira masih mendukung Hakeem yang masih batuk diselang-seli dengan nafasnya yang laju, duduk di kerusi menunggu. “Ayah, mama,” kata Hakeem berulang kali dengan suaranya yang lemah. Hasbi hampir menangis mendengar suara itu. Tidak disangka keadaan anaknya boleh jadi begini.

Pegawai paramedik itu pun terus mengarahkan Aira masuk ke dalam jabatan kecemasan, lebih tepat lagi di kerusi nebuliser yang berada berdekatan dengan zon merah. Paramedik yang bertugas di zon itu menyuruh Aira duduk di kerusi khas nebuliser sambil mendukung Hakeem. Dia menyiapkan ubat salbutamol dan meletakkannya di chamber, kemudian disambungkan ke topeng nebuliser dan terus diletakkan ke muka Hakeem.

Sambil itu, seorang jururawat mengambil probe SpO₂ dan memasangnya ke jari kaki Hakeem, dan monitor itu menunjukkan bacaan SpO₂ kurang dari 90% secara konsisten. Hakeem kemudian menangis-nangis sepanjang ubat nebuliser itu diberikan. Aira yang keletihan menjaga Hakeem dua tiga hari ini pun kelihatan penat dan stres memeluk Hakeem, sambil mengusap belakangnya.

Sepanjang rawatan dengan nebuliser itu, bacaan SpO₂ masih tidak memuaskan. Hati Aira masih lagi mengharap Hakeem semakin pulih, namun keadaannya masih tidak menyebelahinya. Melihatkan keadaan itu, paramedik itu pun memberikan dos kedua nebuliser kepada Hakeem.

Kemudian, doktor yang menjaga Zon Merah itu pun memeriksa sambil bertanya soalan-soalan yang berkaitan, dan memeriksa pernafasan, dada Hakeem, serta mendengar paru-paru Hakeem dengan stetoskopnya. Melihatkan keadaannya seperti itu, doktor itu pun terus menelefon doktor pediatrik untuk merujuk Hakeem, dan mengambil keputusan untuk memasukkan Hakeem ke wad kanak-kanak. Aira dan Hasbi pun bersetuju asalkan sahaja anak mereka pulih. Nasal prong kemudian dipasang di hidung Hakeem untuk memberikan bantuan oksigen sementara menunggu untuk dipanggil dimasukkan ke wad kanak-kanak.

Setelah setengah jam, Hakeem dipanggil untuk dimasukkan ke wad. Anak kecil ini masih menangis, lesu dan batuk seperti tadi. Seorang jururawat membawa kerusi roda ke arah Aira supaya Aira dapat naik sambil membawa Hakeem ke wad. Seorang lagi petugas kesihatan pula mencabut tiub oksigen dari dinding di zon nebuliser itu ke tong oksigen untuk memberikan gas itu sehingga tiba di wad. Hasbi pula mengambil beg yang dibawa dari rumah tadi bersama ke dalam wad.

Setibanya di wad, Hakeem masih lagi batuk-batuk dan nafasnya tercungap. Tetapi kali ini lebih teruk dari di rumah tadi. Dengan lemah Hakeem memanggil-manggil ibunya dan ayahnya. Aira dan Hasbi semakin risau dan sebak melihat keadaannya. Jururawat-jururawat dengan segera menyiapkan katil untuk Hakeem duduk dan baring, sambil menyiapkan tiub-tiub yang perlu dipasang ke topeng oksigen Hakeem. Disamping itu, seorang nurse branula juga memasang di tangan Hakeem supaya senang untuk memberikan ubat melalui intravenous.

Seorang jururawat lagi memasang probe SpO₂ ke jari Hakeem, dan bacaan SpO₂ masih menunjukkan kurang dari 90%, iaitu bacaan yang tidak bagus. Seorang jururawat di kaunter menelefon doktor pediatrik yang on call malam itu, dan mengatakan doktor akan datang selepas beberapa minit kerana sedang melihat bayi pramatang yang baru sahaja dilahirkan.

Sambil menunggu doktor datang, Hasbi dan Aira berganti-ganti mendukung Hakeem sambil memujuknya. Keadaan Hakeem masih lagi sama. Hasbi dihujani perasaan bersalah yang amat mendalam kerana tidak cukup melindungi anaknya itu. Dia sangat sayangkan Hakeem — inilah anak lelaki yang ditunggu-tunggu berbelas tahun, yang akan menjadi legasi hidupnya. Takut sekali Hasbi sekiranya Hakeem menjadi lebih tenat dan meninggalkannya. Hasbi juga menimbang mungkin Hakeem perlu ditidurkan dan dipasang mesin ventilator untuk membantu pernafasannya.

Seketika kemudian, doktor pediatrik pun hadir untuk memeriksa Hakeem. Raut wajahnya kelihatan tenang, mungkin kerana dia sudah biasa melihat dan merawat kanak-kanak yang tenat. Doktor itu pun bertanya riwayat kesihatan Hakeem, dari lahir hinggalah usianya sekarang. Kemudian, dia memeriksa bacaan-bacaan klinikal Hakeem seperti SpO₂ , kadar nadi, kadar pernafasan, serta dada Hakeem yang berombak-ombak seperti intercostal recession dan subcostal recession . Dia juga mendengar paru-paru Hakeem dan mendengar ada rhonci dan coarse crepitation .

Melihatkan keadaan Hakeem seperti itu, doktor tersebut pun menelefon pakar yang sedang on call untuk bertanya tentang rawatan yang sesuai untuk keadaan Hakeem yang kritikal itu. Kemudian doktor itu mengarahkan staf di wad membawa mesin CPAP (continuous positive airway pressure) untuk membantu Hakeem bernafas.

Semasa memasang topeng itu ke muka Hakeem, dia masih meronta-ronta untuk tidak mahu memakai topeng itu walaupun badannya lemah. Namun selepas Aira mengusap perlahan dada memujuknya, Hakeem kian tenang dan perlahan-lahan tidur dan melelapkan matanya. Mesin SpO₂ mula menunjukkan bacaan sekitar 91%. Hasbi dan Aira berasa sedikit lega, walaupun perasaan risau itu masih ada.

Jam sudah pun menunjukkan pukul 4 pagi. Hakeem sudah terlelap kepenatan, manakala Aira berikrar mahu memastikan topeng yang dipasangkan di muka Hakeem itu tetap terpasang meskipun dia tidak dapat tidur. Dia terus mengusap perlahan sambil mendodoikan anak kesayangannya itu. Dia faham anaknya pasti terlalu letih kerana tidak dapat bernafas dengan baik beberapa hari ini.

Aira sendiri sudah lunglai kerana dari pagi dia tidak dapat berehat. Namun dalam fikirannya, apalah sangat letihnya dia dibandingkan kesihatan Hakeem yang kritikal itu. Hasbi juga sudah lesu kerana penat fizikal dan mental. Namun, dalam hatinya amat berharap keadaan anaknya semakin baik esok hari. Hasbi juga kurang risau kerana sekarang Hakeem sudah berada di dalam wad — ada ramai kakitangan kesihatan yang boleh membantu serta peralatan perubatan sekiranya kesihatan Hakeem merudum.

Lalu Hasbi meminta izin dari isterinya itu untuk pulang ke rumah itu tidur, dan berjanji akan menjaga Hakeem esok pagi. “Baik bang, tak apa, abang balik lah dulu. Esok pagi pula Aira balik dan abang jagakan Hakeem ya,” kata Aira. “Ok sayang,” jawab Hasbi.

Hasbi beransur balik meninggalkan isterinya dan wad kanak-kanak itu, menuju ke keretanya. Hatinya sarat dengan pengharapan agar anaknya itu semakin pulih di bawah jagaan doktor, jururawat dan anggota kesihatan di wad itu. Hatinya nekad, selepas ini, Hakeem adalah segala-galanya. Tiada hari tanpa ubat, tiada debu yang singgah ke paru-paru Hakeem, serta tiada detik tanpa Hakeem di sisinya.

Daftar istilah:

  • Anxiety → Gangguan perasaan cemas yang berpanjangan.
  • Branula → Jarum plastik kecil (juga dipanggil cannula) yang dimasukkan ke dalam salur darah vena, biasanya di tangan atau lengan. Digunakan untuk memasukkan ubat, cecair, atau mengambil darah tanpa perlu cucuk berulang kali.
  • Coarse crepitation → Bunyi “berderak” atau “meletup kecil” yang kasar ketika bernafas, biasanya semasa menarik nafas (inspirasi). Tanda adanya cecair atau rembesan dalam saluran udara dan ruang kecil paru-paru. Sering dikaitkan dengan pneumonia, edema paru-paru, atau jangkitan pernafasan.
  • Coryza → Istilah perubatan untuk selsema.
  • CPAP (Continuous Positive Airway Pressure) → Mesin yang membantu pernafasan dengan meniupkan tekanan udara berterusan ke paru-paru.
  • Inhaler salbutamol → Ubat sedut jenis bronkodilator yang membuka saluran pernafasan sempit.
  • Inhaler fluticasone → Ubat sedut jenis steroid untuk mengurangkan keradangan paru-paru.
  • Intercostal recession → Kulit di antara tulang rusuk tertarik ke dalam ketika bernafas, tanda sesak nafas teruk.
  • Intravenous (IV) → Kaedah pemberian ubat atau cecair terus ke dalam salur darah melalui vena. Lazimnya dilakukan menggunakan branula atau jarum khas. Cara ini membolehkan ubat bertindak dengan cepat kerana ia terus masuk ke peredaran darah.
  • Jaundice → Penyakit kuning pada bayi baru lahir akibat paras bilirubin tinggi.
  • Necrotising enterocolitis (NEC) → Penyakit usus serius pada bayi pramatang, menyebabkan perut kembung dan keradangan.
  • NICU (Neonatal Intensive Care Unit) → Unit rawatan rapi untuk bayi baru lahir, khususnya pramatang atau sakit serius.
  • Nebuliser → Mesin yang menukar ubat cecair (seperti salbutamol) menjadi wap untuk disedut.
  • Nasal prong → Tiub kecil yang dimasukkan ke hidung untuk menyalurkan oksigen.
  • Pulse oximeter → Alat kecil yang mengukur tahap oksigen dalam darah.
  • Respiratory distress syndrome (RDS) → Paru-paru bayi pramatang belum matang, menyebabkan kesukaran bernafas.
  • Rhonchi → Bunyi pernafasan abnormal yang kedengaran melalui stetoskop, berbunyi kasar atau berdesir (mirip bunyi “berdengkur”) akibat saluran pernafasan dipenuhi lendir atau sempit. Lazimnya didengar pada penyakit seperti asma, bronkitis, atau jangkitan paru-paru.
  • SpO₂ (oxygen saturation) → Bacaan tahap oksigen dalam darah. Normal 95–100%.
  • Subcostal recession → Kulit di bawah tulang rusuk tertarik ke dalam ketika bernafas, juga tanda sesak nafas.
  • Ventilator → Mesin pernafasan yang digunakan jika pesakit tidak mampu bernafas sendiri.

Hari gembira seorang ayah

Gambar ibu ayah dan bayi

Hari ini ialah hariku paling gembira. Aku mengambil cuti sempena menyambut kepulangan anakku dan isteriku dari hospital. Sudah empat bulan anakku dirawat di sana sejak dia dilahirkan. Tambahan pula, hampir enam minggu aku tidak berjumpa dengannya sejak dia dipindahkan dari NICU ke SCN — kerinduan ini tidak lagi tertahan. Oleh kerana umur terkoreksinya kini hampir sebulan, dia dipindahkan dari NICU ke SCN. Isteriku pula telah hampir tiga bulan menetap di hospital tanpa pulang ke rumah kerana menjaga anak kami yang masih kecil, membuatkan tubuh dan jiwanya keletihan tanpa ruang untuk benar-benar berehat.

Sejak anakku berpindah ke SCN, aku tidak lagi berpeluang menatap wajahnya. Di wad ini, bayi tinggal bersama ibu, dan polisi hospital tidak membenarkan lelaki — hatta suami — melangkah masuk. Hati ini membuak-buak ingin menatap wajahnya selepas melalui detik-detik mendebarkan, termasuk jangkitan paru-paru yang hampir meragut nyawanya. Namun, Tuhan Maha Pengasih, mengabulkan doaku — anakku diberi kesembuhan setiap kali diuji dengan penyakit sepanjang berada di wad itu.

Anakku dilahirkan pramatang, dia hanya menginap di rahim isteriku selama 28 minggu, dengan berat lahir sekadar 1 kilogram. Menurut klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dia tergolong dalam kategori very preterm . Bermacam-macam komplikasi menimpa — dari otak hingga ke usus — namun yang paling serius ialah komplikasi pada paru-parunya iaitu respiratory distress syndrome , kerana tisu paru-parunya masih terlalu muda untuk bernafas seperti bayi lain yang dilahirkan cukup bulan. Sejak lahir, dia bergantung kepada oksigen untuk melangsungkan hidup. Beberapa kali pasukan perubatan menguji anakku sama ada dia mampu bernafas sendiri tanpa oksigen, namun paru-parunya masih belum mampu berdikari. Walaupun umur kronologinya sudah tiga bulan dua puluh hari, dia masih memerlukan oksigen. Pakar paru-paru juga memaklumkan, anakku mungkin memerlukan terapi oksigen sehingga berumur setahun setengah. Aku terima dengan hati terbuka, asalkan kesihatannya terus baik dan perkembangannya normal seperti bayi lain.

Bilik tengah rumahku yang dahulu penuh dengan perabot telah aku kosongkan sepenuhnya kerana di situlah anakku akan berteduh. Pasukan perubatan menasihatkan agar ruangnya sentiasa bersih daripada habuk untuk membantu pemulihan paru-parunya. Setiap sudut aku lap dengan penuh cermat, salah satu plug di bilik itu aku pastikan mampu menampung tenaga mesin pemekat oksigen yang akan merawatnya nanti. Lantai telah aku mop hingga berkilat tanpa sisa debu agar dia tidak sesak nafas. Mesin penapis udara turut aku pasang untuk menyedut habuk di bilik itu, agar udara yang dihirupnya bersih dan segar.

Jam di dinding menunjukkan pukul dua petang. Aku mengenakan t-shirt biru dan seluar slack hitam, kemudian mencapai kunci kereta. Dengan hati yang berbunga girang, aku menghidupkan enjin sambil membaca doa agar perjalanan ke hospital diberkati dan dipermudahkan. Hospital itu hanya 15 minit dari rumah, maka aku memandu santai sambil membawa seribu harapan dan doa. Di radio, lagu Tulus bertajuk “Manusia Kuat”bergema, seolah-olah menggambarkan semangat anakku yang tabah berjuang sejak hari pertama dia melihat dunia. Ayah amat mengagumi kekuatanmu, nak. Lima belas minit kemudian, aku tiba di tempat parkir hospital dan berjalan kira-kira tiga minit menuju pintu masuk bangunan yang menempatkan anak dan isteriku.

Setibanya di hadapan wad, aku segera menelefon isteriku. “Hello sayang, abang dah sampai depan wad ya.”

“Ok abang, tunggu depan pintu wad ya,” balasnya lembut.

Lima minit kemudian, isteriku keluar dari pintu wad sambil menyerahkan kepadaku sekeping penyata caj rawatan hospital.

“Abang bawa slip ini ke kaunter pembayaran ya. Tempatnya di tingkat bawah bangunan sebelah, belakang mesin ATM. Lepas bayar baru Aira dan Hakeem boleh discharge,” katanya.

“Baik, sayang,” jawabku ringkas, namun penuh semangat.

Setelah tiba di kaunter pembayaran, aku menyerahkan slip itu kepada pegawai bertugas. Dengan senyuman, dia memberitahuku bahawa bil anakku ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri kerana anakku lahir di negeri ini. Dadaku terasa lapang. Rasa syukur membanjiri hati — anugerah Tuhan ini amat besar, dan aku berdoa agar urusanku menjaga anak ini sentiasa dipermudahkan.

Aku kembali ke wad dengan langkah cepat. Aku menelefon isteriku lagi, memaklumkan bahawa urusan bayaran sudah selesai. Isteriku memaklumkan perkara itu kepada jururawat, dan seketika kemudian, mereka memberitahu bahawa anak dan isteriku dibenarkan pulang. Aku menunggu di hadapan pintu wad dengan hati yang sarat rasa syukur, bahagia, dan tidak sabar.

Sepuluh minit kemudian, daun pintu wad itu terbuka perlahan. Isteriku muncul sambil menolak baby cot , ditemani seorang jururawat yang menolak tong oksigen. Tong itu membekalkan gas oksigen melalui nasal prong yang terpasang di hidung kecil anakku. Riak wajah isteriku penuh kegembiraan — seolah-olah masih tidak percaya bahawa akhirnya, setelah tiga bulan, dia dan anaknya bebas meninggalkan hospital itu. Aku senyum melihat mereka; kebahagiaan yang lama terpendam akhirnya memancar. Aku menatap wajah anakku yang lena di dalam baby cot, hampir sebulan setengah aku tidak menatap wajah sucinya. Kami kemudian berjalan perlahan menuju ke pintu utama bangunan itu untuk pulang sambil tersenyum.

Aku menuju ke kereta, menghidupkan enjin dan memarkir sebentar di hadapan pintu masuk bangunan wad. Perlahan-lahan, aku membantu isteriku dan anakku masuk ke tempat duduk belakang, dan meletakkan tong oksigen itu sebelahnya, manakala mesin pemekat oksigen itu aku letakkan di kerusi hadapan bersebelahan kerusi pemandu. Mujur mesin itu tidak terlalu berat; aku dapat mengangkatnya dengan mudah. Kami pun berangkat pulang ke rumah, bersama rasa bahagia yang sukar digambarkan dengan kata-kata — sudah hampir tiga bulan kami tidak bersama sebegini.

Sepanjang perjalanan, hatiku dibaluti rasa syahdu. Kini aku benar-benar bergelar seorang ayah, gelaran yang sekian lama kudambakan. Isteriku di sisi, kini sah bergelar ibu. Kami berdua diam, tenggelam dalam keharuan yang hanya kami fahami. Anakku pula lena, mungkin tenang kerana tidak lapar. Dua puluh minit perjalanan itu terasa suci, seperti sebuah pengembaraan menuju kehidupan baru kurniaan ilahi.

Jam menunjukkan 6.30 petang ketika kami tiba di rumah. Langit merah jingga membingkai suasana melankolik kami. Aku membuka pintu belakang kereta, membantu isteriku keluar sambil mendukung anak kecil kami. Setelah mereka masuk ke dalam rumah, aku segera kembali ke kereta untuk mengambil mesin pemekat oksigen dan membawanya masuk.

Di dalam rumah, kami menuju ke bilik tengah. Aku segera memasang plug mesin pemekat oksigen, menuang air tapis ke dalam botol humidifier mesin itu, lalu menyalakannya agar oksigen dapat disalurkan segera kepada anakku. Kemudian aku mengambil tilam nipis dan meletakkannya di lantai untuk menidurkan anakku. Isteriku kemudian meletakkan anakku di atas tilam nipis ini perlahan-lahan. Kemudian, Wajah suci anakku itu kucium beberapa kali, melepaskan kerinduan yang menggunung. Di bilik tengah yang kini menjadi ruang kecil penuh kasih, aku letakkan juga sebuah sofa agar aku dapat duduk di situ sambil mengawasinya.

Isteriku pula akhirnya merebahkan diri di katil lamanya yang sudah tiga bulan tidak disentuh. Wajahnya tersenyum damai, disapa mengantuk yang lama ditahan. Dalam lena yang bakal tiba, terselit rasa syukur dan kagum terhadap dirinya sendiri — wanita yang tabah menghadapi segalanya demi cinta seorang ibu. Akhirnya, keletihannya berbalas kebahagiaan. Kini, dalam keheningan rumah kami, aku, dia, dan anak kecil kami bersatu kembali — sebagai sebuah keluarga kecil yang ditempa oleh ujian, doa, dan cinta.

Daftar istilah:

  • NICU (Neonatal Intensive Care Unit) → Wad khas yang merawat bayi baru lahir yang memerlukan rawatan dan pemantauan intensif, seperti bayi pramatang, berat lahir sangat rendah, serta penyakit yang serius seperti kesukaran bernafas, jangkitan, dan sebagainya.
  • SCN (Special Care Nursery) → Wad yang menyediakan penjagaan dan rawatan kepada bayi yang baru lahir yang memerlukan pemantauan tetapi dalam keadaan yang lebih stabil berbanding NICU.
  • Respiratory Distress Syndrome (RDS) → Keadaan di mana paru-paru bayi pramatang belum dapat menghasilkan cukup surfaktan, bahan kimia semula jadi yang dihasilkan oleh paru-paru untuk bernafas secara normal. Ini menyebabkan bayi mengalami kesukaran bernafas dan memerlukan rawatan oksigen.
  • Umur terkoreksi (Corrected age/ adjusted age) → Umur sebenar bayi pramatang yang dikira dengan menolak tempoh pramatangnya daripada umur kronologinya. Seperti contoh, bayi yang lahir 2 bulan lebih awal dan kini berumur kronologi 4 bulan, umur terkoreksinya ialah 2 bulan.
  • Umur kronologi (Chronological age) → Umur sebenar bayi berdasarkan tarikh lahirnya, tanpa mengambilkira sama ada dilahirkan cukup bulan atau pramatang.
  • Pramatang (Premature) → Bayi yang dilahirkan sebelum tempoh 37 minggu kehamilan lengkap.
  • Very preterm → Bayi yang dilahirkan antara 28 minggu hingga 32 minggu kehamilan.
  • Mesin pemekat oksigen (Oxygen concentrator) → Mesin yang menapis udara sekeliling untuk menghasilkan oksigen berkepekatan tinggi yang boleh diberikan kepada pesakit melalui tiub atau nasal prong.
  • Nasal prong → Tiub kecil yang mempunyai 2 lubang untuk memberikan oksigen kepada hidung pesakit yang disambungkan ke mesin pemekat oksigen atau tong oksigen.
  • Baby Cot → Katil kecil khas untuk bayi di wad.